Pada masa kini semakin ramai
guru dan ibu bapa yang menyedari akan pendidikan Waldorf. Sebagaimana
Montessori dan Reggio, Wardolf yang berakar umbi di Eropah telah pun berkembang
ke seluruh dunia. Ramai yang tertarik dengan pendekatan ini kerana mereka
melihatnya sebagai alternatif kepada pendidikan tradisional dan sebagai ilham
untuk meningkatkan mutu pendidikan (Edwards, 2002). Model Pendidikan Waldorf
berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak yang bertujuan untuk menggalakkan
persekitaran pembelajaran yang sihat kepada kanak-kanak, pembelajaran yang
tidak tergesa-gesa dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan
perkembangan kanak-kanak. Pendidikan Awal Kanak-kanak mengikut Pendekatan
Waldorf menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah pusat jagaan kanak-kanak
di rumah, kumpulan ibu bapa dan kanak-kanak, program sokongan untuk ibu bapa,
dan tadika yang menyediakan program
untuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 7 tahun (Oldfield, 2001).
Pendekatan Waldorf diasaskan oleh Rudolf Steiner dan pertama kali dilaksanakan
di Jerman.
Rudolf Steiner dan Falsafah
Antropologi
Rudolf Steiner dilahirkan di
Austria pada tahun 1861 dan merupakan anak kepada seorang pegawai stesen kereta
api. Beliau menghabiskan masa kecilnya di sebuah perkampungan petani di
Austria. Rudolf mempelajari matematik, fizik, dan kimia dalam pengajian ijazah
pertamanya di sebuah universiti di Vienna dan kemudian menyambung pengajian
doktor falsafah di University Rostock.
Selepas Perang Dunia Pertama, beliau
memulakan usaha membangunkan dan mengembangkan ideanya berkenaan ketenteraman
sosial di mana usaha gigihnya mendapat sambutan menggalakkan daripada semua
pihak. Berdasarkan konsep yang diperkenalkan ini, beliau berpendapat bahawa
masyarakat yang sihat perlu saling bergantung dalam bidang ekonomi yang berkaitan dengan
pengeluaran, penerbitan, serta penggunaan tenaga dan perkhidmatan. Dalam bidang
politik pula, perkara yang diambil kira ialah mengenai hubungan sosial sesama
manusia manakala dalam bidang kerohanian pula pandangannya lebih kepada
aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kemenjadian manusia. Ketiga-tiga bidang
ini saling berkait antara satu sama lain dan yang paling penting ada tolak
ansur demi mewujudkan perpaduan dalam masyarakat (Childs, 1991a).
Malangnya, pada masa itu tiada sokongan sepenuhnya diberikan kepada Steiner untuk mengubah cara pemikiran
tradisional di Jerman menyebabkan hasrat Steiner terbantut. Walau bagaimanapun,
idea-idea beliau dimanifestasikan ke dalam bidang-bidang yang lain. Steiner
juga menulis lebih daripada 50 buah buku dan menyampaikan lebih daripada 6000 syarahan
yang mewakili dirinya sebagai saintis terkenal, pelukis, ahli falsafah,
arkitek, dan pendidik sebelum meninggal dunia pada tahun 1925. Boleh dikatakan,
peninggalan beliau yang paling hebat
ialah model pendidikan yang direkabentuk berdasarkan kepada pandangan falsafah beliau dan teori perkembangan
kanak-kanak (Richard, 1980; Steiner, 1982).
Apa sahaja gambaran daripada falsafah
Steiner adalah bermula daripada falsafah antropologi dari Greek; antro
bermaksud lelaki dan sophia yang bermaksud kebijaksanaan.Ramai yang berpendapat
bahawa antropologi ialah kajian mengenai kombinasi antara kemanusiaan dan
kerohanian. Matlamat ilmu antropologi ini ialah untuk menunjukkan kebenaran
atau pengetahuan baru, dan bukannya dihasilkan mengikut mana-mana prinsip
tertentu yang membuatnya menjadi ortodoks. Keutamaannya adalah untuk mengetahui
kebenaran tentang hal-hal kerohanian (Wilkinson, 1996).
Komponen kedua dalam kajian
kemanusiaan sebagaimana yang dikehendaki oleh Steine ialah mengenali diri sendiri
iaitu setiap individu itu harus membina kekuatan diri dalam pelbagai bidang.
Melalui kajian dan penerokaan mengenai
hal-hal intelektual, usaha-usaha artistik, kraf dan kemahiran tenaga
buruh dan meditasi kerohanian, seseorang itu boleh meningkatkan kekuatan dan
semangat dalam diri mereka. Sifat semula jadi manusia yang tidak dapat lari
daripada menghadapi pengalaman di dunia, tetapi mereka mesti meletakkan diri
dalam situasi sebenar dalam satu kedudukan pengasingan dan tidak menguasai diri mereka (Wilkinson,
1996, p.53). Steiner merasakan bahawa melalui falsafah dan ilmu kemanusiaan,
nilai kerohanian, jiwa dan tubuh badan untuk sebuah kehidupan dapat disediakan
dan direalisasikan untuk pertumbuhan dan pembelajaran yang berterusan.
Teori Steiner mengenai
Perkembangan Kanak-kanak
Steiner sentiasa konsisten
dengan kepercayaannya dalam bidang antropologi,
seterusnya mencipta teorinya sendiri berkenaan dengan perkembangan
kanak-kanak. Beliau mencadangkan 7 tahun kitaran yang merangkumi aspek perkembangan
fizikal dan kerohanian. Dalam tempoh 7 tahun pertama kehidupan, Steiner
merasakan bahawa perkembangan kanak-kanak lebih tertumpu pada bentuk fizikal
tubuh badan. Mereka meniru orang-orang
dewasa di persekitaran mereka untuk mengenali dunia. Mereka juga melatih
diri dengan pekerjaan sebenar melalui bermain dan projek-projek kraf tangan.
Serentak dengan itu, perkembangan kerohanian sepatutnya baik berasakan konsep
boleh yang digarap oleh Steiner dan dipupuk melalui drama atau simulasi. Tempoh
masa tujuh tahun pertama inilah merupakan masa yang penting bagi kanak-kanak
untuk meneroka alam fantasi dan imaginasinya.
Pada tahap ini, Steiner berpendapat bahawa pengajaran secara formal
sangat tidak sesuai bagi kanak-kanak.
Dalam kitaran tujuh tahun kedua
iaitu lingkungan umur 7 hingga 14 tahun kanak-kanak Kanak-kanak mula sedar
tentang dunia sekeliling mereka dan mula memahami arahan serta boleh belajar
secara formal . Pada peringkat ini, kanak-kanak mulai memahami akan perasaan
dan konsep kerohanian. Hubungan sesama insan juga mulai berkembang pada
peringkat ini.
Peringkat umur 14 hingga 21 tahun
yang merupakan kitaran 7 tahun ketiga, manusia
telah mula mencapai tahap akil baligh dalam kehidupan mereka. Mereka
mula menggabungkan kepintaran mereka mula berfikir secara abstrak. Perasaan
untuk bebas dan berdikari mulai berkembang pada tahap ini dirasai dan pelajar
mula meneroka dan berhubungan secara sendirian. Steiner menggariskan 7 tahun
kitaran dan karektor-karektor yang bersesuaian mengikut susur galur kehidupan
sehinggalah mencapai usia 85 tahun (Wilkinson, 1996).
Kesimpulannya, bersandarkan kepada
teori perkembangan ini menunjukkan Steiner percaya kepada pendidikan. Beliau
merasakan bahawa kanak-kanak mesti berkembang secara menyeluruh dari aspek
fizikal tubuh badan, jiwa dan kerohanian. Tumpuan hendaklah diberikan kepada
mendidik semua kanak-kanak kerana membangunkan kebolehan kanak-kanak adalah
lebih penting daripada mengajar kanak-kanak memahami pelajaran. Ini bermakna
bahawa mengajar kanak-kanak memahami dan mengenali diri mereka adalah lebih
baik daripada mengajar mereka tentang
fakta dan ilmu daripada buku. Steiner juga percaya bahawa pembelajaran yang
sesuai terutamanya untuk peringkat
menengah adalah mengikut tahap umur dan peringkat yang telah ditetapkan.
Pendidikan Waldorf mengikut
Konteks Sejarah
Steiner akhirnya berpeluang
menyampaikan sendiri teori perkembangan dan pandangannya dalam pendidikan pada
akhir Perang Dunia Pertama. Selepas Steiner menyampaikan syarahannya di
Waldorf-Astoria Cigarette Factory, pemilik kilang tersebut iaitu Emil Molt mula
tertarik dengan idea-idea Steiner dan mencadangkan Steiner membuka sebuah
sekolah kepada anak-anak pekerja di kilangnya. Steiner menyahut cabaran itu
dengan memberikan beberapa syarat iaitu:
Sekolah mestilah diuruskan
oleh guru dan bukannya pihak pentadbir.
Kurikulumnya mestilah
berasaskan impian dan cita-cita yang tinggi.
Pentingnya untuk mempunyai
impian, kebenaran, dan perasaan tanggung jawab terhadap tiga aspek perkembangan
sosial.
Guru-guru hendaklah dipilih
oleh Steiner dan dilatih mereka melalui syarahan dan meditasi kendaliannya.
Sekolah Waldorf yang pertama dibuka
pada tahun 1919 apabila pemilik kilang itu, Emil Molt menerima syarat-syarat
yang ditetapkan Steiner. Emil Molt juga menyediakan pembiayaan dan tempat untuk
sekolah itu. Sambutan amat menggalakkan selepas beberapa bulan sekolah ini
dibuka. Dalam tempoh 20 tahun, lebih daripada 6 buah sekolah Waldorf dibuka di
Jerman, 7 buah lagi di negara-negara lain di seluruh dunia. Apabila rejim Nazi
menguasai Jerman pada tahun 1939, kerajaan menutup semua sekolah-sekolah
Waldorf kerana menganggap sekolah-sekolah tersebut mengajar kanak-kanak diajar
berfikir tentang diri mereka sendiri. Sebaik sahaja rejim Nazi lumpuh, sekolah-sekolah itu dibuka semula
dengan semangat baru dan semakin maju.
Sekolah-sekolah Waldorf adalah
berdasarkan kepada budaya Jerman dan berpusatkan murid daripada idea-idea
Steiner yang merangkumi 3 bidang pengurusan utama iaitu politik, kerohanian,
dan ekonomi. Jerman Selatan secara dasarnya berminat dengan idea-idea Steiner
mengenai kebebasan, kesamaan dan persaudaraan. Idea-idea Steiner bukan sahaja
menjadi daya tarikan kepada negara Jerman sahaja malahan turut menarik minat
kepada pendidik-pendidik di seluruh dunia. Kini, lebih daripada 800 buah
sekolah Waldorf dibina di lebih 40 buah negara di seluruh dunia dan lebih
daripada 150 buah daripada sekolah-sekolah itu dibina di Amerika Utara.
Sebilangan sekolah-sekolah Waldorf ini hanyalah menyediakan pendidikan di
peringkat tadika sahaja, dan ada juga yang menyambung pendidikan dari tadika
sehingga peringkat gred ke-12 atau gred ke-13.
Tadika Waldorf
Tadika Waldorf berbeza
dengan tadika-tadika yang biasa kita lihat. Tadika Waldorf menyediakan
pendidikan kepada kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun
bersesuaian dengan kitaran 7 tahun pertama sebagaimana yang dinyatakan dalam
teori perkembangan Steiner. Kurikulum meliputi permainan imaginatif,
cerita-cerita dongeng, cerita rakyat dan cerita-cerita teladan, peniruan,
aktiviti-aktiviti seni, aktiviti yang menunjukkan pekerjaan sebenar seperti
menjahit, membuat roti, bermain alat muzik, menari, drama dan kesedaran tentang
alam semula jadi, serta musim dan kitarannya.
Steiner berpendapat kanak-kanak pada
tahap tadika sedang berusaha mengembangkan fizikal tubuh badan dan apa
yang mereka kehendaki. Oleh itu,
aktiviti yang dijalankan tidak memerlukan suasana akademik dan lebih kepada
hands-on. Menurut Steiner, Banyak peluang akan wujud semasa aktiviti dijalankan
di tadika dan beliau percaya itu akan mengembangkan lagi kehendak kanak-kanak.
Alat mainan di tadika juga hendaklah dalam bentuk yang biasa 'open ended' bagi menggalakkan imaginasi
kanak-kanak berkembang dengan sempurna. Selain itu, objek di dalam kelas
kebanyakannya bahan semula jadi seperti buah labu, ranting, "pinecones
& pebbles' dan sebagainya.
Tadika Waldorf tidak mengamalkan
pengajaran formal dan dibentuk supaya
ada kesinambungan dengan suasana di rumah. Apa yang lebih penting ialah
kurikulum yang dibina adalah dapat menyediakan asas perkembangan yang baik dan
menyumbang kepada kegembiraan dan kesihatan jangka panjang dan lebih-lebih lagi
kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Sekolah Bergred Waldorf
Setelah berusia 7 tahun,
kanak-kanak akan meneruskan tahap persekolahan
di gred dua hingga lapan. Dalam tempoh masa kitaran 7 tahun kedua ini
kanak-kanak masih lagi bersama guru dan rakan-rakan pelajar dari kelas yang
sama. Tujuannya adalah untuk memberikan kanak-kanak hubungan yang berkekalan dan membentuk persekolahan
yang konsisten kepada kanak-kanak. Ia juga sebagai salah satu cara bagi
mengelakkan guru menjadi lembap atau pasif. Maka, guru dan murid akan
bersama-sama dalam tempoh tujuh tahun kedua sehinggalah murid itu melalui
peringkat tumbesaran.
Berdasarkan kepada teori Steiner,
Kanak-kanak pada tahap kedua ini telah bersedia untuk belajar subjek-subjek
akademik. Mereka telah mempunyai asas-asas pendidikan yang cukup daripada
pengalaman mereka di tadika sebelum ini. Kesedaran mereka mengenai dunia luar
juga telah berkembang dengan baik. Nilai-nilai kerohanian dan perasaan juga
telah berkembang dengan baik. Bidang-bidang akademik yang biasa seperti membaca, menulis, kemahiran-kemahiran bahasa,
matematik, geografi, sejarah dan sains akan diajar oleh guru supaya kanak-kanak dapat menerokai ilmu dan mahir dalam bidang-bidang tersebut.
Mengikut jadual harian di sekolah
Waldorf, setiap pagi guru akan menyambut kedatangan murid dan memberi ucap selamat dan kata-kata pujian
supaya murid-murid bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Kemudian semua
kelas akan berkumpul untuk menjalankan sesi pagi. Pembelajaran utama bermula
dalam tempoh masa 2 jam. Kelas ini akan menggunakan pelbagai pendekatan bukan
setakat syarahan sahaja tetapi juga
pelbagai aktiviti yang sesuai dengan jadual kurikulum pada hari tersebut
akan dijalankan. Pada waktu tengah hari kanak-kanak diberi peluang untuk
menyertai aktiviti yang kurang akademik seperti seni, muzik dan aktiviti
praktikal. Mata pelajaran yang sama mungkin akan diterokai selama 3 – 4 minggu
sebelum mata pelajaran baru
diperkenalkan.
Latihan Guru Waldorf
Oleh sebab falsafah Waldorf
diuruskan dengan baik dan kandungannya juga merangkumi pelbagai komponen
terancang, maka guru-guru Waldorf perlu dilatih agar memahami falsafah dan teori bagaimana cara untuk mengaplikasikan idea-idea tersebut dengan cara yang betul di
dalam kelas.Kini terdapat lebih 50 sekolah latihan sepenuh masa di seluruh
dunia di mana sekurang-kurangnya 8 daripadanya di Amerika Syarikat. Salah satu
Kolej Latihan Rudolf Steiner terletak di California, Amerika Syarikat. Kolej
ini menawarkan pelbagai program dan kursus-kursus untuk melatih guru, pendidik guru, pengikut-pengikutnya,
dan sesiapa sahaja yang berminat dengan Steiner dan teorinya.
Ciri-ciri Program Waldorf
Mewujudkan Masyarakat Penyayang dalam Kalangan Pelajar
Pendekatan Waldorf dalam pendidikan awal kanak-kanak mengandungi
unsur-unsur kemasyarakatan. Rudolf Steiner telah membincangkan secara
terperinci perkara-perkara penting mengenai persekitaran fizikal, kumpulan
umur, perancangan aktiviti, jadual dan hubungan sosial dalam program ini.
Antara elemen-elemen yang terdapat di Tadika Waldorf ialah:
Kepekaan kanak-kanak kepada persekitaran.
Kepentingan bermain dan peniruan.
Faedah daripada kumpulan pelbagai umur.
Mewujudkan ritma dan rutin.
Kelas Waldorf dibentuk seperti
di rumah sebagai kesinambungan antara sekolah dan rumah. Menurut Waldorf,
kanak-kanak sangat sensitif dengan persekitarannya. Mereka berupaya menyerap
semua pengalaman pembelajaran melalui lima deria. Oleh itu, guru mestilah bijak
melakukan susun atur dan reka bentuk dalam dan luar kelas yang akan digunakan
oleh kanak-kanak. Selain itu, keindahan dan keceriaan di dalam kelas juga memainkan peranan untuk menarik minat
kanak-kanak. Warna memainkan peranan yang amat penting, contohnya warna yang
garang akan memberikan rangsangan yang terlebih manakala warna yang lembut akan
memberikan rasa selesa dan tenang. Oleh kerana itu, Steiner mencadangkan supaya
kelas bagi kanak-kanak perlulah dengan warna kosong yang lembut tanpa dihiasi
dengan sebarang tampalan kertas dinding. Suasana menarik yang ringkas seperti
perabot kayu dengan warna asli, langsir daripada natural fiber dan mainan
buatan tangan menjadi keutamaan. Keadaan ini bagi membolehkan kanak-kanak
meningkatkan imaginasi dengan keadaan yang tenang dan selesa.
Pengajaran untuk
Mempertingkatkan Perkembangan dan Pembelajaran
Terdapat beberapa
kepercayaan yang didokong oleh guru-guru
Waldorf berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak iaitu:
Hormat-menghormati,
keterujaan dan dilindungi.
Menghormati dan memandang
tinggi kepada kanak-kanak.
Menyediakan persekitaran
yang menarik dan responsif.
Hubungan kanak-kanak dengan
pengalaman deria.
Kerjasama sesama rakan
sebaya.
Kanak-kanak belajar melalui
pengalaman.
Sikap bertanggung jawab dan
menjaga keselamatan diri.
Membina Kurikulum yang Sepadan dan Sesuai
Memupuk pemikiran kanak-kanak bermula dari minda,
hati, sosial, emosi, kerohanian,
moral,fizikal dan intelektual kanak-kanak.
Mempertingkatkan perkembangan
secara holistik dari aspek:
Perkembangan kerohanian
Perkembangan fizikal
Perkembangan intelektual
Mengekalkan integriti
intelektual.
Menggabungkan pelbagai
variasi dalam aspek disiplin
Merangkumi kepelbagaian
budaya
Menaksir Pembelajaran Kanak-kanak
Tiada lagi pendekatan
tradisional dalam penaksiran.
Membina hubungan yang baik
sesama ahli keluarga.
Kebebasan untuk melangkah ke
hadapan.
Melihat kanak-kanak sebagai
individu yang bernilai.
Pemerhatian untuk melihat
perkembangan kanak-kanak.
http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=CoW0pCIG-FM
http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=CoW0pCIG-FM